AI GENERATIF KREATIF

Apakah AI generatif dan bagaimanakah teknologi tersebut berfungsi?

AI Generatif mendapat liputan media yang ketara dan meluas, dan perkara tersebut bukanlah semata-mata digembar-gemburkan. Teknologi baharu ini dijangka akan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian anda dalam masa terdekat — atau mungkin sudahpun menjadi sebahagian daripada hidup anda tanpa anda sedari.

Pada tahun lalu, kecerdasan buatan generatif telah menarik memukau imaginasi orang ramai di seluruh dunia. Jenis kecerdasan buatan (AI) berkeupayaan tinggi ini boleh mencipta kandungan baharu berdasarkan pola yang dipelajari daripada data sedia ada. Data tersebut adalah berbeza-beza tetapi boleh merangkumi foto, lagu, penulisan dan kandungan lain. AI Generatif boleh membuat imej yang hebat, menulis puisi atau kod, dan juga menghasilkan runut muzik rap yang kedengaran seperti muzik rap yang sebenar.

 

Dalam masa terdekat, AI generatif diunjurkan menjadi teknologi yang penting dalam kehidupan seharian kita seperti telefon pintar. Namun bagi sebilangan besar individu, AI generatif merupakan satu misteri. Mari kita tinjau ciri AI generatif, ciri yang bukan AI dan cara teknologi ini boleh mengubah kehidupan kita di tempat kerja dan di rumah.

Memahami AI generatif.

Walaupun AI generatif mungkin kelihatan seperti kuasa ajaib, terdapat banyak teknologi yang rumit dan bernuansa di sebalik teknologi ini. Tetapi jika anda meneliti satu demi satu elemen teknologi ini, anda boleh mula memahami mekanisme yang membolehkan “kuasa ajaib” tersebut terhasil.

Menentukan AI generatif.

Kunci untuk memahami sebab AI generatif itu penting terkandung dalam nama teknologi itu sendiri. Kecerdasan buatan mempunyai keupayaan untuk menjana kandungan baharu yang belum pernah dihasilkan sebelum ini.

 

AI Generatif bukan sahaja menganalisis data yang sedia ada — teknologi ini mencipta kandungan yang baharu. Bayangkan anda meminta chatbot yang dijana AI generatif, seperti ChatGPT, untuk mencadangkan slogan bagi syarikat kopi baharu anda. Dalam beberapa saat, bot sembang menyemak slogan pengiklanan kopi selama berdekad-dekad dan menghasilkan slogan baharu, “Segarkan Hari Anda, Seteguk demi Seteguk.” Permulaan yang agak baik untuk penyelidikan slogan anda.

 

Keupayaan AI generatif melangkaui mainan kata. Teknologi ini boleh menganalisis berjuta-juta baris data DNA dan membina protein baharu daripada sifar. Para doktor juga menggunakan AI generatif untuk meningkatkan rawatan kanser, menggariskan sasaran tumor dengan tepat untuk radiasi. Artis menggunakan aplikasi AI generatif seperti Adobe Firefly untuk mengekspresikan diri mereka dan mencipta karya komersial.

gambaran menyeluruh burung kecil di jalan berbatu dengan pokok palma

Gesaan: gambaran terperinci burung kecil di jalan berbatu dengan pokok palma

AI berbanding generative AI.

Istilah kecerdasan buatan menyampaikan maksud dengan tepat — mesin yang meniru kepintaran manusia untuk melaksanakan tugas. Contoh biasa ialah pembantu suara seperti Siri dan Alexa, dan chatbot khidmat pelanggan yang muncul apabila anda bertanya kepada Amazon tentang bungkusan yang hilang.

 

Walaupun kecerdasan buatan yang tidak generatif masih berguna, AI generatif berupaya melakukan transformasi. Kita baru sahaja mula menikmati cara teknologi ini akan membantu kita mencapai hasil yang tanpa penggunaan teknologi tersebut akan mengambil masa yang lebih lama untuk disempurnakan atau tidak mungkin dicapai sama sekali.

Sebab kecerdasan generatif sangat pintar.

Pada masa lalu, aplikasi komputer tidak dapat melaksanakan tugas melainkan manusia memberikan arahan yang jelas terlebih dahulu tentang cara untuk menyelesaikan tugas itu. Arahan tersebut dipanggil “pengaturcaraan.” Walaupun pengaturcaraan yang canggih boleh menghasilkan hasil yang mengagumkan, aplikasi komputer tradisional tidak boleh melakukan sesuatu yang tidak disertakan oleh manusia dalam pengaturcaraan aplikasi tersebut.

 

Sistem AI Generatif lebih fleksibel kerana teknologi ini bergantung pada pembelajaran mesin, yang tidak memerlukan pengaturcaraan yang jelas. Sebaliknya, manusia memberikan komputer akses kepada sejumlah besar data. Mesin melatih diri untuk mengenal pasti corak dalam data tersebut dan, yang paling penting, untuk membuat kesimpulan daripada perkara yang telah mereka pelajari. (Di situlah aspek penting pembelajaran bagi “pembelajaran mesin”.) Saiz dan kualiti set data adalah penting. Prestasi AI bergantung pada kualiti data yang diterima untuk latihan.

 

Menjawab soalan "Bagaimanakah AI generatif berfungsi?" adalah rumit, dan untuk mencapai pemahaman yang mendalam tentang teknologi ini memerlukan usaha. Keindahan AI generatif, bagaimanapun, ialah anda tidak perlu memahami segala-galanya tentang teknologi ini untuk mendapat manfaat. Anda boleh mencari aplikasi, seperti Firefly, taipkan perkara yang ingin anda lihat — “tiga anak anjing labradoodle berlari di atas rumput” — dan kini anda seorang pengguna AI generatif. Tidak memerlukan ijazah pengaturcaraan.

tiga anak anjing labradoodle berlari di atas rumput

Gesaan: tiga anak anjing labradoodle berlari di atas rumput

Aplikasi AI generatif.

AI membawa pembantu maya kepada kita. AI Generatif menyediakan pakar maya (dengan beberapa batasan yang akan kita bincangkan kemudian).

Badan Korporat dan AI generatif.

AI Generatif boleh menambah nilai dengan mengoptimumkan cara organisasi mengendalikan pengetahuan dalaman. AI Generatif mempunyai potensi untuk membolehkan, misalnya, pakar strategi rantaian pakaian mencari rekod inventori syarikat mereka dengan bertanya soalan seperti, “Adakah kami menjual lebih banyak seluar pendek atau seluar panjang pada musim panas yang lalu?” Insights sedemikian boleh mempercepat pembuatan keputusan dan pembangunan strategi.

Individu dan AI generatif.

Individu sudah menggunakan AI generatif untuk menjawab soalan umum dan menjalankan penyelidikan. (Sila beri perhatian bahawa jawapan dan penyelidikan memerlukan semakan fakta oleh manusia — lebih lanjut tentang ini dan kelemahan lain dalam bahagian “Pengehadan dan cabaran AI generatif” di bawah ini.)

 

Membuat karya seni dengan AI generatif juga popular dalam kalangan individu. Anda boleh menguji konsep dengan cepat, membina papan mood dan mereka-reka pemandangan luar biasa menggunakan bahasa harian. Masalah juga boleh timbul dalam situasi ini kerana banyak penjana seni AI dilatih menggunakan imejan yang dilindungi oleh hak cipta.

 

Walau bagaimanapun, terdapat juga kebimbangan tentang hak cipta. Untuk membantu menangani kebimbangan ini, Adobe melatih Firefly tentang imej yang dilesenkan dalam Adobe Stock bersama-sama kandungan yang dilesenkan secara terbuka dan kandungan domain awam yang hak cipta telah tamat tempoh. Memandangkan Firefly direka bentuk untuk digunakan secara komersial, aplikasi ini boleh membuka peluang kepada lebih banyak bidang lain, seperti seni komersial, reka bentuk, permainan, persekitaran maya dan banyak lagi.

Reka bentuk dalaman, perspektif ruang tamu dan kabinet dapur berkonsep pulau, tingkap besar dengan cahaya semula jadi, Warna cerah, tumbuh-tumbuhan, perabot moden, jendela langit, reka bentuk minimalis moden

Gesaan: Reka bentuk dalaman, perspektif ruang tamu dan kabinet dapur berkonsepkan pulau, tingkap besar dengan cahaya semula jadi, Warna cerah, tumbuh-tumbuhan, perabot moden, jendela langit, reka bentuk minimalis moden

Manfaat dan kelebihan AI generatif.

AI Generatif boleh memahami data rumit dalam jumlah yang besar dengan lebih cepat berbanding manusia. Fakta ini menyokong dua manfaat potensi utama AI generatif:


1. Produktiviti yang lebih tinggi

2. Kecekapan yang dipertingkat

Bayangkan anda bekerja di sebuah syarikat yang menyimpan maklumat proprietari dalam laporan bertulis, hamparan, pangkalan data hubungan dan juga carta grafik. Anda boleh memanfaatkan AI generatif untuk menganalisis semua sumber tersebut, membuat hubungan antara sumber tersebut dan menjawab soalan anda. AI mempunyai keupayaan untuk memberikan pengesyoran berdasarkan sintesis teknologi tersebut.

 

Peningkatan dalam produktiviti dan kecekapan berkemungkinan merentasi banyak industri. Jika anda seorang pengurus pemasaran bagi perniagaan kecil, AI generatif boleh membantu anda mengubah saiz iklan dalam talian dengan cepat agar selaras dengan keperluan pelbagai platform tempat iklan tersebut akan dipaparkan. Kemudian anda boleh menggunakan dengan AI generatif untuk melaporkan prestasi aset, mengenal pasti arah aliran dan peluang yang boleh anda terapkan ke dalam gelombang pemasaran yang seterusnya.

 

Terdapat potensi manfaat penting AI generatif yang ketiga:

3. Kreativiti dipertingkat

Semua orang, tentu saja, mempunyai keupayaan kreativiti yang hebat. Namun, individu yang paling berbakat dalam kalangan kita pun boleh rasa terperangkap dalam rutin yang membosankan. Contohnya, Pereka bentuk grafik boleh menggunakan AI sebagai rakan sumbang saran. AI generatif boleh menghasilkan idea baharu dan luar biasa yang membawa anda ke laluan yang berbeza, sama seperti cara kaleidoskop mengubah pemandangan biasa menjadi perspektif yang serba baharu. Dalam situasi ini, AI bukanlah pakar maya tetapi sebaliknya bertindak sebagai pembantu pengendali yang menyokong kreativiti anda.

Pengehadan dan cabaran AI generatif.

Keupayaan AI Generatif sangat mengagumkan sehingga mudah untuk melupakan batasan teknologi ini. Berikut ialah beberapa cabaran yang perlu diatasi.

AI tidak selalunya betul.

Seperti yang kita bincangkan dalam bahagian “Aplikasi AI Generatif,” alat AI generatif seperti ChatGPT tidak selalunya tepat dari sudut fakta. Mungkin akan tiba masanya apabila set data dan algoritma yang diperhalus ini akan mengurangkan risiko yang berkaitan dengan teknologi ini, namun sementara itu, kita sebagai manusia mesti menjadi pengguna yang menilai maklumat yang kita baca dengan pemikiran skeptis. Sahkan maklumat dengan membuat perbandingan dengan sumber yang dipercayai.

Sikap berat sebelah boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Semakan fakta agak mudah. Menyekat sikap berat sebelah dalam masyarakat daripada mempengaruhi hasil AI generatif, misalnya, yang berkaitan dengan gender dan kaum adalah lebih mencabar. Namun tindakan tersebut juga perlu dilakukan. Bagi memastikan hasil AI generatif bebas daripada sikap berat sebelah orang ramai, pihak yang bertanggungjawab dalam mencipta AI mesti mengenal pasti dan mengurangkan sikap berat sebelah pada setiap peringkat, bermula dari fasa reka bentuk hingga fasa pembangunan dan seterusnya fasa penggunaan, serta komited tentang pemantauan yang berterusan.

 

Sebagai pengguna, kita juga boleh membantu untuk membanteras sikap berat sebelah. Katakan anda memasukkan gesaan teks “saintis yang memakai kot makmal memegang tabung uji” ke dalam penjana seni AI. Adakah hasil hanya menunjukkan satu jenis individu, tidak kira berapa kali anda mengklik butang “jana”? Anda boleh menghantar mesej kepada pembuat penjana tentang kelemahan tersebut, dan kemudian memperhalus gesaan teks anda untuk menggalakkan penjanaan hasil yang lebih pelbagai.

saintis yang memakai kot makmal memegang tabung uji

Gesaan: saintis yang memakai kot makmal memegang tabung uji

AI Generatif boleh menggunakan banyak tenaga.

Syarikat yang membangunkan alat AI generatif juga hendaklah menyedari tentang tenaga yang diperlukan pada masa ini untuk melatih dan menyelenggara alat ini. Industri semakin sedar tentang keperluan untuk mengurangkan jejak karbon, tetapi masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk hal itu.

Hak harta intelektual juga satu isu.

Pencipta profesional wajar berasa bimbang tentang pelanggaran hak cipta. Kebimbangan ini sedang ditangani oleh mahkamah. Adobe ialah salah satu contoh syarikat yang berusaha untuk membantu pencipta. Selain membangunkan AI generatif Firefly secara bertanggungjawab, Adobe juga membantu mencipta standard industri melalui Content Authenticity Initiative (Inisiatif Ketulenan Kandungan, CAI) dan berusaha ke arah mencapai tag “Jangan Latih” universal yang membolehkan pencipta mengawal sama ada kerja mereka boleh digunakan untuk melatih model AI, atau tidak.

Menyepadukan AI generatif ke dalam aliran kerja anda.

AI Generatif sangat berkuasa. Anda juga mempunyai kuasa. Sebagai seorang individu, memastikan anda mempunyai pengetahuan yang luas hendaklah menjadi perkara yang paling utama. Semak dasar privasi sebelum menggunakan alat AI generatif. Jika anda tidak bersetuju dengan dasar tertentu, elak daripada menggunakan alat tersebut. Fikir dua kali sebelum memuat naik maklumat peribadi ke mana-mana alat AI generatif sebaik sahaja anda melepasi peringkat pendaftaran. Jika anda mahu mengekalkan kerahsiaan maklumat tertentu, jauhkan maklumat tersebut daripada alat itu. Jika anda berhasrat untuk menggunakan hasil secara komersial, pastikan alat itu disediakan untuk mengelakkan pelanggaran hak cipta. Perniagaan yang menerima pakai AI generatif hendaklah sentiasa menyemak hasil yang dijana untuk ketepatan, sikap berat sebelah dan pelanggaran hak cipta.

 

Selain mengikuti perkembangan peraturan yang berkaitan, ini ialah cara terbaik untuk melindungi syarikat daripada risiko undang-undang. Orang ramai hendaklah memacu pembangunan konsep dan strategi. Ingat, AI ialah teman sampingan anda. Anda ialah bos.

Hayati masa depan reka bentuk dengan AI generatif Adobe Firefly.

AI Generatif sudah pun mengubah kehidupan kita. Sebagai pakar maya, AI generatif boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam banyak industri. Sebagai rakan kongsi sumbang saran, AI generatif boleh meningkatkan kreativiti kita.

 

Teknologi ini berkembang dengan begitu pesat sehinggan AI generatif yang akan datang mungkin kelihatan sangat berbeza daripada yang terdapat pada hari ini. Jika kita meneroka alat ini dengan sikap ingin tahu dan berhati-hati, kita boleh menikmati manfaat alat tersebut — dan mengelakkan sebarang kesulitan yang tidak diduga.

taman teh Jepun

Gesaan: taman teh Jepun

Soalan? Kami mempunyai jawapan.

Kecerdasan buatan generatif ialah cabang AI yang memfokuskan pada mencipta atau menghasilkan kandungan baharu, seperti imej, muzik atau teks, melalui algoritma dan model pembelajaran mesin. AI Generatif biasanya memerlukan input pengguna, seperti gesaan teks, untuk menjana output yang sepadan, termasuk teks, imej, muzik atau video.

Terdapat banyak aplikasi praktikal AI generatif, termasuk menulis kod komputer, mencipta imejan dan video, meringkaskan laporan, menganalisis data jualan dan melayani pelanggan.

Kecerdasan buatan secara umum ditakrifkan sebagai mesin yang meniru kepintaran manusia untuk melaksanakan tugas. AI Generatif memfokuskan pada mencipta atau menghasilkan kandungan baharu, seperti imej, muzik atau teks, melalui algoritma dan model pembelajaran mesin. AI Generatif biasanya memerlukan input pengguna untuk menjana output yang sepadan.

Manfaat utama yang berpotensi bagi kecerdasan buatan termasuk kecekapan yang lebih baik, produktiviti yang lebih tinggi dan kreativiti yang dipertingkatkan. Pengehadan termasuk maklumat yang tidak tepat, promosi berat sebelah, pelanggaran hak cipta dan penggunaan tenaga.

Perniagaan dan individu boleh mencari tempat dalam aliran kerja mereka yang mereka boleh mendapat manfaat daripada kecekapan tambahan, produktiviti atau kreativiti. Perniagaan yang mengintegrasikan AI generatif harus menyemak hasil yang dijana untuk ketepatan, sikap berat sebelah dan pelanggaran hak cipta, sambil membenarkan pekerja memacu dalam membuat konsep dan strategi. Individu boleh menggunakan alat AI generatif untuk bekerja dan bermain, namun pada masa yang sama harus berwaspada dengan maklumat peribadi mereka.

Kongsi artikel ini

Luaskan Imaginasi dengan Adobe Firefly.

Guna imaginasi, buat uji cuba, dan cipta sesuatu dengan AI generatif dalam aplikasi web Firefly. Baru mula menggunakan Creative Cloud, kini tersedia untuk kegunaan komersial.

Anda juga mungkin ingin

Seni AI untuk Pembangun Permainan
Angkasawan dengan latar belakang multiwarna yang dijana oleh Firefly
Idea gesaan seni AI
Imej istana yang dikelilingi oleh pasir yang dijana oleh Firefly