illustrator
Cara melukis orang daripada semua bentuk dan saiz.
Kenali bentuk manusia dan tingkatkan kemahiran melukis figura anda dengan tutorial lukisan langkah demi langkah.
Asas melukis orang secara realistik.
Untuk melukis figura manusia dengan baik, anda perlu memahami perkadaran, gerak isyarat dan anatomi manusia. “Gerak isyarat adalah yang paling penting,” kata pelukis, Jonathan Dockery, “tetapi kita harus bermula dengan perkadaran.”
Perkadaran
Perkadaran tubuh badan manusia sangat berbeza, tetapi peraturan asas ini dapat membantu anda mengekalkan bahagian badan dalam skala yang betul. “Perkadaran asas orang biasa ialah setinggi tujuh kepala,” kata Dockery. Jika anda melukis pandangan depan seseorang yang sedang berdiri dan memulakan dengan kepala, anda boleh mengukur keseluruhan panjang badan sebagai tujuh kali panjang kepala tersebut. Bahagian bawah pektoralis major, atau otot dada, berada kira-kira dua kepala ke bawah. Kepala ketiga ke bawah sejajar dengan pusat, dan kepala keempat sejajar dengan bahagian bawah pelvis.
Jika anda kembalikan perhatian anda kepada kepala, anda boleh mula melakar ciri muka. Kedudukan mata terletak lebih tinggi sedikit daripada titik tengah, dan bahagian hujung hidung berakhir di tengah antara mata dengan dagu. Jarak dari hidung ke bahagian atas kepala sama dengan jarak dari hidung ke atas sangkar rusuk. “Perlu diingat bahawa kedudukan ini berbeza bagi setiap orang,” kata Dockery. “Pemerhatian adalah lebih penting daripada menggunakan sistem, dan anda tidak mahu semua orang yang anda lukis kelihatan sama.”
Dari bahagian atas kepala, anda boleh mengukur lima kepala ke bawah secara lurus, dan mulakan melukis lutut sedikit di bawah. Tulang betis atau tulang kering harus berada lebih kurang di pertengahan kepala keenam ke bawah. Akhir sekali, bahagian kaki akan berakhir di bahagian bawah panjang kepala yang ketujuh itu. “Untuk kaki, sering kali berguna untuk memikirkan bahagian tersebut sebagai bentuk segi tiga umum,” kata Dockery.
Naik semula ke atas sangkar rusuk, buat bentuk tulang selangka menyerupai hendal basikal. Lengan akan dilukis dari situ. “Secara umum,” kata Dockery, “pergelangan tangan akan sejajar dengan tulang pelvis, dan tangan akan terbentuk di bahagian bawah.”
Lukis bahagian leher sebagai silinder. Jika anda melukis pandangan sisi, ingat bahawa leher condong sedikit ke hadapan dari sangkar rusuk, dan telinga bermula di tengah-tengah antara dahi dengan belakang kepala.
Gerak isyarat
“Gerak isyarat sama dengan irama badan,” kata Dockery. Sudut pinggul, lengkungan punggung, dan penempatan anggota badan dapat menghidupkan lukisan seseorang. Sebaik sahaja anda menemukan tiga jisim utama kepala, sangkar rusuk, dan pelvis, maka anda telah mempunyai struktur asas bahagian atas badan. Tetapi, Dockery berkata, “kita perlu bermula dengan mencari hubungan yang berirama antara dua jisim pertama, kepala dengan sangkar rusuk.”
Cari bahagian atas sangkar rusuk di lubang leher, dan ikut garisan ke bawah tulang dada, melepasi bahagian tengah perut dan kanan ke bahagian atas kaki. Anda boleh menggunakan tulang selangka untuk menunjukkan sudut bahagian atas badan dan membentuk keseluruhan sangkar rusuk. Dari situ anda boleh mencari sudut jisim akhir, pelvis.
Sebaik sahaja anda telah menetapkan cara bentuk ini berkaitan antara satu sama lain, anda boleh merancang bahagian kaki. Bagi Dockery, butiran tidaklah begitu penting jika dibandingkan dengan gerak isyarat. “Gerak isyarat menentukan sama ada suatu lagak gaya itu hidup atau tidak,” katanya. “Inilah cerita yang mencorakkan lagak gaya. Dan tujuan melukis adalah untuk menyampaikan sesuatu cerita, walaupun hanya sekadar cerita tentang emosi, semangat atau pengalaman.”
Anatomi
Pengetahuan tentang anatomi manusia boleh membantu anda membina otot yang realistik pada rangka lukisan anda. Kaji subjek anda, foto rujukan, malah rajah tubuh manusia untuk membantu anda melukis otot dengan betul. “Secara umum,” kata Dockery, “bahu orang yang lebih lebar dan berotot akan memanjang kira-kira selebar satu kepala.” Bahu yang kurang lebar mungkin hanya kira-kira separuh lebar kepala, tetapi penting untuk mengamati subjek anda dan yakin dengan pemerhatian anda.
Petua lukisan digital langkah demi langkah.
Manfaatkan pemahaman anda tentang perkadaran badan, gerak isyarat dan anatomi dalam app lukisan digital seperti Adobe Fresco. Pelukis, Eli Johnson memberikan beberapa arahan asas tentang cara untuk membuat lukisan figura anda.
Imej oleh Eli Johnson
01. Pada saiz kanvas pilihan anda, cipta lapisan baharu, dan mulakan lakaran ringkas dengan menggunakan hanya berus asas. “Biasakan menamakan lapisan anda sebaik sahaja mula melukis, atau keadaan akan jadi mengelirukan dalam masa yang singkat,” kata Johnson.
Imej oleh Eli Johnson
02. Kurangkan kelegapan lapisan pertama dan buat lapisan lain untuk lakaran kedua. “Penting untuk mengkaji semua pilihan anda, kerana lagak gaya yang baik boleh menentukan kejayaan atau kegagalan imej anda. Jika imej itu tidak mampu menarik minat anda dari awal, jangan terus membuat pilihan,” kata Johnson. Untuk lakarannya, pada mulanya Johnson menggunakan rambut yang panjang dan beralun untuk menyampaikan unsur pergerakan yang bagus, tetapi dia memutuskan untuk menukar gaya dan memberikan subjek itu “rambut Afro yang elok dan besar, yang akan bergoyang apabila ditiup angin.” Dia juga membetulkan kedudukan lengan untuk memberikan lebih ruang kepada rambut Afro.
Imej oleh Eli Johnson
03. Fokus pada elemen terpenting dalam mana-mana lukisan figura: muka. “Bagus untuk mencuba pelbagai pilihan anda. Seni anda merupakan hasil karya anda sendiri, jadi pastikan karya anda menarik.” Kata Johnson. ”Setelah anda menetapkan penampilan yang diingini, itu akan mempengaruhi banyak elemen reka bentuk dan personaliti seterusnya.”
Imej oleh Eli Johnson
04. Setelah anda berpuas hati dengan muka, buat lapisan baharu di atas, namakan semula dan tambah pakaian serta perincian lain.
\
Imej oleh Eli Johnson
05. Untuk elemen yang rumit seperti tali kasut, Johnson mengesyorkan agar menambah satu lagi lapisan baharu. “Dengan cara ini, kita boleh memikirkan reka bentuk yang baik dan mengekalkan lapisan terdahulu kita dengan elok dan bersih. Kurangkan kelegapan dan sentiasa membuat lakaran di atas lapisan utama anda untuk menambah hiasan yang membalut secara realistik dan sesuai dengan watak anda,” tambahnya. Dengan lapisan yang berasingan, anda boleh mengubah elemen tanpa menjejaskan aspek lain dalam lukisan.
Imej oleh Eli Johnson
06. Seterusnya, anda boleh menambahkan warna. “Orang mempunyai gaya mewarna yang berbeza,” kata Johnson, “tetapi saya lebih suka bekerja daripada warna gelap kepada terang — bermula dengan warna asas dan sesuaikan dengan sorotan.”
Imej oleh Eli Johnson
07. Salah satu kelebihan lukisan digital ialah anda boleh bermain dengan latar belakang tanpa menjejaskan subjek anda. Untuk mendapatkan lebih banyak petua, tonton tutorial tentang cara menggunakan kumpulan lapisan dalam Fresco.
Walau apa pun rupa percubaan pertama anda untuk melukis orang, teruskan berlatih. Lukis dengan model hidup untuk menangkap ciri-ciri dan ekspresi wajah yang menjadikan orang itu unik. Ingat untuk memberikan tumpuan kepada gerak isyarat dan pergerakan, serta cuba menceritakan kisah dengan setiap lukisan yang anda cipta.