illustrator
Cara melukis karikatur.
Mulakan ciptaan lakaran lucu yang menyerupai rakan dan selebriti. Kemudian, terokai cara terbaik untuk menonjolkan karikatur anda — daripada ciri muka yang unik kepada prop khas.
illustrator
Mulakan ciptaan lakaran lucu yang menyerupai rakan dan selebriti. Kemudian, terokai cara terbaik untuk menonjolkan karikatur anda — daripada ciri muka yang unik kepada prop khas.
Karikatur ialah gaya lukisan yang sering muncul sebagai potret keterlaluan tokoh politik atau cenderamata aneh di laluan pejalan kaki. Namun, karikatur lebih daripada sekadar hidung besar dan ciri muka yang berlebihan. Mencipta gambaran orang dengan cara yang aneh — sama ada daripada media atau kehidupan sebenar — melalui lukisan karikatur boleh membantu anda meningkatkan kemahiran melakar ilustrasi watak tiga dimensi yang sebenar. “Karikatur mencerminkan inti pati diri seseorang, dan bukan sekadar penampilan luaran mereka, tetapi merangkumi personaliti mereka,” kata ahli karikatur, Greg Bigoni.
Lukisan karikatur memerlukan pemahaman tentang identiti subjek yang digambarkan. Menyedari perkara yang penting dalam jenis kartun ini adalah lebih berguna daripada mengikuti tutorial langkah demi langkah. “Lebih mendalam pengetahuan anda tentang seseorang, lebih senang untuk mencipta karikatur mereka,” kata Bigoni. Cuba ketahui perkara yang menarik tentang seseorang, dan bukan sekadar tentang penampilan mereka. Jika anda tidak mengenali subjek tersebut, ajukan soalan.
Perhatikan setiap ciri muka individu. Mungkin subjek anda mempunyai hidung yang sangat pendek. Anda boleh menyerlahkan ciri itu dalam lukisan. Penting juga untuk menggambarkan jarak antara ciri mereka. “Pada asasnya kita bercakap tentang perkadaran,” jelas ilustrator dan pelukis komik, Jonathan Case. “Semua orang memiliki perkadaran yang agak berbeza.” Sentiasa melampaui ciri-ciri muka untuk menonjolkan keunikan tubuh subjek anda juga. Jika mereka sering mengangkat bahu, tunjukkan itu.
Cuba gunakan warna yang cerah atau garisan tebal. Jika anda membuat lukisan untuk orang lain, penuhi permintaan mereka dengan cara yang luar biasa. “Saya mempunyai seorang rakan yang bertanya sama ada saya boleh melukis dirinya dan pasangan sebagai boneka dan boneka bertali,” kata Bigoni. “Dan saya berkata ‘OK, tetapi bagaimana jika saya melukis juga versi sebenar kamu yang mengendalikan boneka tersebut?’”
Karikatur yang hebat adalah lucu dan berperwatakan. Namun, berhati-hatilah supaya tidak menunjukkan rasa tidak hormat atau melukai perasaan seseorang. “Anda perlu berhati-hati dalam menyeimbangkan penggunaan elemen yang berlebihan itu,” kata ilustrator dan pengajar lukisan, Lucas Elliott. “Apabila anda melebih-lebihkan ciri seseorang, mungkin terdapat ciri yang akan membuat mereka rasa sensitif.”
Melukis muka kartun sudah pasti menjadi langkah penting untuk meneroka cara melukis karikatur. Mata, hidung, dan mulut merupakan kawasan utama untuk menunjukkan perwatakan. Walau bagaimanapun, apabila melukis muka, perkadaran dan jarak adalah sama penting dengan kualiti individu bagi setiap ciri. Mulakan dengan memetakan wajah anda menggunakan garis dan bentuk ringkas untuk menentukan kedudukan mata, hidung dan mulut. Bentuk kepala yang unik juga perlu diambil kira.
Petua untuk melakar hidung.
Dalam dunia karikatur, hidung adalah kanvas untuk anda menonjolkan wajah manusia. “Saya selalu mulakan dengan bahagian hidung,” kata Bigoni. “Saya akan mula dengan menentukan bentuk wajah — dengan lakaran garis kasar menggunakan pensel untuk kedudukan setiap ciri — kemudian mulakan dengan hidung, kerana segala-galanya adalah berkadaran dari situ.” Cuba berlatih teknik melukis hidung sebelum anda beralih kepada gaya kartun.
Petua untuk menganimasikan mata.
Setelah anda berlatih cara yang berbeza untuk melukis mata, lihat cara yang boleh anda pelbagaikan untuk membezakan lukisan anda. “Fikirkan tentang elemen lain dalam lukisan yang mungkin memberikan reaksi kepada watak anda,” kata Bigoni. “Aspek itu lebih jelas terpancar melalui mata berbanding mana-mana ciri yang lain.” Dalam karikatur, terdapat banyak peluang untuk mengubah arah pandangan mata serta reka bentuk mata, bulu mata, dan kening.
Petua untuk melukis mulut.
Fikirkan tentang bentuk bibir seseorang serta cara mulutnya digerakkan. Adakah mereka sedang menjerit? Adakah mereka sedang mencebikkan bibir? Adakah mereka sedang tersenyum? Mulut mampu mengekspresikan emosi yang hampir sama dengan mata. “Ekspresi adalah penting,“ jelas Bigoni. “Terutamanya ekspresi yang menunjukkan keperibadian mereka atau cara mereka memberikan reaksi terhadap sesuatu perkara.”
Perkadaran adalah segala-galanya.
Jika persamaan watak kelihatan kurang memuaskan setelah anda melukis semua ciri muka anda, mungkin jarak dan perkadaran tidak tepat. “Saya dapati bahawa sebahagian besar daripada pemadaman dan penyusunan semula yang saya lakukan berkaitan dengan nuansa ruang wajah seseorang, bukan bentuk mana-mana ciri,” kata Bigoni. Melukis dalam aplikasi digital seperti Adobe Fresco dapat membantu. Cuba lukis setiap ciri pada lapisan yang berasingan, supaya anda boleh mengubah saiz dan menyusun semula ciri tersebut sehingga kelihatan betul.
Jangan berhenti di muka. Menambahkan unsur fizikal dan prop kepada lukisan anda merupakan dua elemen penting untuk membuat karikatur yang tidak dapat dilupakan.
Tubuh badan memiliki keunikan yang setanding dengan wajah.
Unsur fizikal adalah penting dalam karikatur. Menunjukkan keunikan tubuh badan seseorang atau cara mereka berdiri dapat memberikan impak yang mendalam. Bigoni pernah membuat karikatur sepasang kekasih untuk kad jemputan perkahwinan mereka dengan mereka digambarkan sebagai — secara literal — rangka. “Karya itu sangat bermakna bagi saya, kerana wanita dalam gambar itu berkata, ‘Ini hanya rangka saya, tetapi masih kelihatan seperti saya!’” Lihat cara anda boleh mengilustrasikan pergerakan atau tindakan yang mungkin dilakukan oleh subjek anda. Dan menangi mata bonus untuk tatu. “Orang ramai sangat teruja jika anda membuat tatu mereka dengan betul,” kata Bigoni.
Tambahkan individualisme melalui prop.
Pertimbangkan identiti subjek anda untuk menemukan latar belakang atau prop yang dapat menghidupkan lukisan. Ilustrasikan perkara yang anda fikir orang itu mungkin sedang lakukan, makan, minum atau baca. Lukis pakaian yang jelas dipakai oleh individu tersebut. “Jangan hanya bertanya tentang pakaian yang mereka pakai, tetapi juga cara mereka memakainya” kata Bigoni. “Perkara lain yang selalu saya cuba lakukan adalah menambah mana-mana haiwan peliharaan yang dimiliki oleh orang itu. Saya juga pernah mendengar orang berkata, ‘Kucing saya telah tiada, tetapi bolehkah kamu lukiskan kucing dengan halo dan sayap?’”
Walaupun karikatur secara langsung sering ditemui di acara dan memerlukan kelajuan dalam pelaksanaan, kaedah terbaik untuk mengembangkan bakat anda adalah dengan meluangkan masa anda. Tidak perlu bimbang jika anda perlu bergerak perlahan. Mulakan semula jika sesuatu karya sukar untuk disiapkan. “Kadangkala saya perlu memadamkan kerana saya telah melakukan sesuatu secara berlebihan. Kadangkala saya memadamkan kerana saya telah membuat terlalu sedikit. Tentukan keseimbangan yang paling baik untuk menggambarkan orang itu dan jangan takut untuk mencuba berulang kali,” kata Bigoni.
Berlatih dengan melakar selebriti.
Bermula dengan melukis orang yang terkenal daripada sumber media atau pasukan sukan kegemaran anda. Cara ini dapat membantu kerana anda mungkin telah mengenali mereka dan tingkah laku mereka, serta terdapat banyak foto rujukan selebriti yang tersedia secara dalam talian.
Mulakan buku lakaran digital.
Cuba buka Adobe Fresco atau Adobe Photoshop dan lakarkan pelbagai elemen karikatur pada lapisan yang berbeza. Dengan cara ini, anda boleh bereksperimen dengan ciri dan prop yang berbeza tanpa membazir walau sehelai kertas.
Tutorial berguna tentang Adobe Fresco.
Sebelum bermula, ketahui asas lukisan dengan menggunakan Adobe Fresco dan cara mencipta ilustrasi digital anda yang pertama. Kemudian, lihat sama ada anda boleh ikut serta dalam mencipta potret gaya komik atau tidak untuk mengetahui teknik warna dan tekstur yang baharu.