ILLUSTRATOR
Memulakan kerjaya dalam bidang ilustrasi buku kanak-kanak.
Dapatkan petua tentang cara mempamerkan karya anda dan membina rangkaian yang dapat membantu anda memasuki bidang buku bergambar yang kompetitif.

Seni dan perniagaan untuk menghasilkan buku kanak-kanak.
Ilustrasi buku kanak-kanak mungkin pendek, tetapi itu tidak bermakna kejayaan dalam bidang ini adalah mudah. Buku kanak-kanak yang paling baik memikat hati kanak-kanak dan orang dewasa, serta tetap menghiburkan walaupun telah dibaca berulang kali. Meskipun tidak mudah, anda masih boleh memasuki bidang ilustrasi buku kanak-kanak. Terdapat beberapa perkara yang perlu difahami sekiranya anda ingin meneruskan kerjaya dalam industri ini.

Memahami buku kanak-kanak dan matlamat anda.
Gaya seni dalam ilustrasi kanak-kanak berbeza daripada karya garisan kartun Dr. Seuss hinggalah realisme fantasi lukisan Beatrix Potter. Jalan ceritanya juga beraneka ragam. Dengan pelbagai kemungkinan yang luas, langkah pertama anda adalah mentakrifkan perkara yang ingin anda lakukan.
“Kebanyakan orang hanya ada idea untuk sebuah cerita dan tidak lebih daripada itu,” kata pelukis, Lucas Elliott. “Tetapi untuk siapakah cerita tersebut ditujukan? Bagaimanakah rupa seni tersebut? Berapa lamakah panjang cerita tersebut? Berapa banyak patah perkataan yang anda mahukan untuk buku itu: 500 atau 5,000? Perkara tersebut akan menentukan tahap pendidikan yang anda tujukan.”
Adakah cerita atau seni anda lebih sesuai dalam buku bergambar tanpa kata untuk bayi, atau dalam novel ilustrasi dewasa muda yang lebih matang? Adakah anda ingin menghasilkan seni kulit buku, berbanding dengan penceritaan di halaman dalam? Selidiki karya yang dicipta oleh pelukis lain, teliti kerja ilustrasi buku kanak-kanak di Behance dan lakukan kajian tentang karya yang sedang diterbitkan. Bersembang dengan kanak-kanak dan orang dewasa untuk mengetahui jenis buku yang menarik minat mereka. Semua ini akan membantu anda mengenali karya yang lebih mendapat sambutan di kalangan khalayak yang mungkin sukar untuk dipuaskan seperti kanak-kanak.
“Sesetengah orang beranggapan, ‘Buku saya tidak menarik perhatian khalayak kerana mereka tidak faham perkara yang saya cuba sampaikan,’” kata Elliott. “Mereka mungkin faham perkara yang anda cuba sampaikan, tetapi cara anda sampaikan tidak cukup menarik bagi mereka.”

Berhubung dengan khalayak yang lebih muda.
Walaupun hampir semua gaya seni boleh muncul dalam buku kanak-kanak yang laris, hubungan dengan watak dan penceritaan visual yang mudah difahami boleh memberikan impak besar kepada pembaca. Sukar bagi mana-mana khalayak — termasuk kanak-kanak — untuk merasakan hubungan dengan watak utama yang generik.
“Kanak-kanak perlu ada ikatan emosi dengan elemen tertentu dalam buku tersebut,” kata pelukis dan penulis, Scoot McMahon. “Mereka akan teruja untuk melihat elemen yang sama berulang setiap kali mereka menukar halaman.”
Kucing yang mencetuskan kekacauan adalah sesuatu yang nyata, tetapi kucing yang mencetuskan kekacauan dan memakai kasut ialah permulaan kepada sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Dan tanpa perlu menggunakan ribuan perkataan untuk menyelami latar belakang watak, pembaca lebih cenderung untuk berhubung dengan watak yang memiliki ciri visual yang unik.
“Anda mahu watak tersebut memiliki elemen istimewa — sama ada rambut yang sangat cerah atau pipi yang sangat merah,” kata ilustrator kanak-kanak, Alyssa Newman. “Mereka memerlukan satu elemen istimewa untuk membantu mereka menyerlah.”
Menganggap seni anda sebagai fungsi dalam cerita, dapat membantu anda mengenal pasti fokus usaha anda. Watak utama yang menunjukkan emosi melalui cara yang boleh difahami oleh kanak-kanak ialah peranti hubungan pembaca yang lebih baik berbanding pengemasan gabung setiap daun pada pokok di latar belakang dengan sempurna. Selain menyelidik sastera kanak-kanak terkini, fikirkan tentang buku yang paling anda ingat dari zaman kanak-kanak. Adakah pengemasan gabung karya seni yang anda ingat, atau kegembiraan pada muka lucu watak utama yang menari bersama-sama rakannya?

Ilustrasi tempat Taman Rahsia.
Lihat cara novel kanak-kanak klasik dihidupkan ketika pelukis, Anna Daviscourt mengubah beberapa lakaran menjadi karya seni berwarna sepenuhnya.

Ilustrasi buku kanak-kanak Harry Potter.
Pelukis, Shauna Lynn Panczyszyn menghidupkan dunia J. K. Rowling dan menyampaikan nasihat secara langsung tentang cara beliau bekerja.
Menjalin hubungan yang profesional dalam sastera kanak-kanak.
Dalam bidang sastera kanak-kanak yang kompetitif, membina rangkaian anda adalah sangat penting. Komuniti dalam talian seperti Persatuan Penulis dan Ilustrator Buku Kanak-kanak ialah tempat yang baik untuk bermula. Mereka dapat membantu anda membina rangkaian, mencari pencipta lain untuk bekerjasama, serta memastikan anda mendapat maklumat terkini tentang industri.
Mempunyai portfolio yang mempamerkan hasil kerja anda adalah penting untuk mendapatkan pekerjaan, namun portfolio juga boleh menjadi alat yang berguna ketika bekerjasama dengan penulis. “Apabila saya bekerja dengan klien atau penulis baharu, saya akan meminta mereka melayari laman web saya dan memilih karya seni yang mereka suka,” kata Newman. “berdasarkan maklumat tersebut, saya boleh lebih memahami hala tuju yang mereka mahukan.”
Komunikasi adalah penting untuk membina hubungan kolaborator. Perbincangan yang terbuka akan menyemarakkan proses kreatif dan memastikan kedua-dua pihak lebih selesa dengan proses itu. Menyelaraskan visi anda dengan projek akan memastikan anda bekerja untuk mencapai matlamat yang sama.
Anda juga perlu berhubung dengan ejen dan penerbit. Dengan kebanyakan syarikat penerbitan berpusat di New York dan bandar besar yang lain, anda mungkin perlu melakukan perjalanan untuk bertemu secara bersemuka. Konvensyen buku dan buku komik kanak-kanak merupakan peluang hebat untuk membina rangkaian demi perkembangan kerjaya anda. “Bawa portfolio anda dan tunjukkan sikap mesra serta ramah kepada ejen dan penerbit,” kata, McMahon. “Minta maklum balas. Semua itu dapat membantu, walaupun maklum balas negatif.”

“Minta maklum balas. Semua itu dapat membantu, walaupun maklum balas negatif.”
Jika perjalanan bukan pilihan yang mampu untuk dilakukan, berhubung secara dalam talian atau mencari cara lain adalah penting. Kenal pasti ejen dan penerbit yang akan terlibat dengan jenis buku yang ingin anda terbitkan dan hubungi mereka. Berpuluh-puluh percubaan awal anda mungkin tidak mendapat balasan, tetapi menghantar e-mel yang sopan dengan pautan ke portfolio anda pada waktu yang sesuai boleh membuka peluang hubungan penting untuk kerjaya anda. Cuba untuk tampil unik sambil kekal hormat kepada orang yang anda hubungi.
“Ejen amat berbesar hati menerima poskad daripada ilustrator,” kata Elliott. “Mereka ingin melihat beberapa contoh karya anda, dan amat menyenangkan untuk menerima mel yang menyatakan, ‘Hai, saya di sini. Mari berbincang.’”
Kadangkala untuk mendapatkan perjanjian penerbitan buku, anda perlu menyampaikan projek yang sudah terbentuk sepenuhnya, tetapi perlu diingat bahawa ada sesetengah ejen dan penerbit yang lebih suka membentuk pasukan kreatif — menggandingkan pelukis dengan penulis dan menyesuaikan mereka dengan projek tertentu. Selidik tentang penerbit yang ingin anda dekati secara peribadi sebelum berhubung.
Walaupun sudah berusaha dan membuat hubungan yang baik, kesesuaian waktu adalah segala-segalanya. Anda tidak tahu waktu gaya ilustrasi anda akan menarik minat penerbit yang bersedia untuk mengupah pelukis. Teruskan menyelidik tentang medium dan pasaran, menjalin hubungan, dan asah kemahiran artistik anda sehingga waktu yang tepat tiba. Ketekunan adalah penting, kerana menerbitkan karya adalah seperti larian maraton, bukan pecut.
https://main--cc--adobecom.hlx.page/cc-shared/fragments/seo-articles/do-more-illustrator-color-blade